Sunday, February 16, 2014

Untukmu Duhai Isteri

Assalamu'alaikum semua :')

Tak boleh tidur sebenarnya... nak tidur tapi terpaksa menahan mata. Kalau tidur sekarang, bangun nanti mesti mata jadi bengkak. Takmo lah pergi sekolah dengan mata bengkak. Glamer nanti :) Kenapa mata bengkak, sebab baru lepas menangis... kenapa menangis? Biarlah rahsia... haha. 

Sempena malam yang tak boleh tidur ni... jom kita baca kisah teladan mengenai Siti Muthi'ah. Kenal tak Siti Muthi'ah? Bukan Siti Muthi'ah kawan korang masa sekolah rendah dulu tu... Siti Muthi'ah yang nak diceritakan ini adalah seorang wanita yang hidup sezaman dengan Rasulullah SAW hingga Baginda SAW menggelarnya wanita pertama yang akan masuk syurga. Menarik kan... Sehingga namanya disebut-sebut oleh seulas bibir milik Rasulullah SAW.

Rasulullah s.a.w pernah memberitahu puteri kesayangannya Fatimah, bahawa beliau bukanlah wanita pertama yang akan masuk ke syurga. Hal itu sangat membuatkan Fatimah berasa dukacita dan cemburu lalu beliau pun bertanya kepada Rasulullah apakah amalan wanita tersebut sehingga beliau layak untuk menjadi wanita pertama yang masuk ke syurga. Rasulullah s.a.w memberitahu kepada puterinya itu supaya beliau pergi ke rumah wanita itu dan melihat sendiri amalan wanita tersebut.

Lalu, Fatimah pun bersiap-siap untuk pergi ke rumah wanita yang dimaksudkan oleh Rasulullah itu. Pada kali pertama kedatangannya ke rumah wanita yang bernama Siti Muti'ah itu, Fatimah tidak dibenarkan masuk kerana suami wanita tersebut tiada di rumah dan beliau tidak mendapat keizinan daripada suaminya untuk membenarkan tetamu masuk.

Maka, Fatimah pulang kembali ke rumahnya dan akan datang semula ke rumah tersebut pada keesokan harinya. Pada hari berikutnya, Fatimah datang kembali dengan membawa dua orang puteranya, Hassan dan Hussin. Malang lagi menimpa Fatimah kerana Siti Muti'ah tidak membenarkan Fatimah masuk ke rumahnya kerana beliau hanya meminta izin dari suaminya supaya Fatimah seorang sahaja yang boleh masuk ke rumahnya manakala Hassan dan Hussin tidak boleh masuk tanpa kebenaran suaminya. Sekali lagi Fatimah pulang dengan perasaan hampa kerana tidak dapat melihat amalan wanita tersebut.

Pada hari yang ketiga barulah Fatimah diizinkan masuk ke dalam rumah Siti Muti'ah. Pada pandangan Fatimah setelah pertemuannya dengan Siti Muti'ah, tiada apa-apa yang istimewa pada wanita tersebut yang melayakkan beliau menjadi wanita pertama yang masuk ke syurga. Sedang asyik Fatimah berbual dengan Siti Muti'ah, tiba-tiba Siti Muti'ah bangun dari duduknya dan segera bersiap-siap membuatkan Fatimah kehairanan. Rupa-rupanya wanita tersebut menyiapkan dirinya untuk menyambut kepulangan suaminya.

Sewaktu menyambut kepulangan suaminya, Siti Muti'ah menyediakan air dan menghidangkan sedikit makanan untuk suaminya. Beliau juga dilihat menyediakan sebuah tongkat yang akan digunakan oleh suaminya bagi menghukum Siti Muti'ah sekiranya didapati beliau melakukan kesalahan sepanjang pemergian suaminya. Siti Muti'ah juga memakai pakaian yang menarik untuk menghiburkan suaminya.

Setelah melihat adegan itu, Fatimah pulang dengan perasaan yang cukup kagum dan terharu dengan layanan yang sangat istimewa yang diberikan oleh Siti Muti'ah terhadap suaminya. Fatimah terus mendapatkan ayahandanya Rasulullah s.a.w dan menceritakan tentang peristiwa yang dilihatnya di rumah Siti Muti'ah. Dengan penuh rasa rendah diri, Fatimah memberitahu kepada Rasulullah bahawa sememangnya Siti Muti'ah sememangnya layak untuk menjadi wanita pertama yang masuk ke syurga kerana ketaatan yang tidak berbelah bahagi kepada suaminya itu.

Ada versi yang saya baca, Siti Muthi'ah merupakan orang yang akan menarik tunggangan Siti Fatimah r.a. untuk masuk ke dalam syurga. Jadi, secara tidak langsung beliau lah yang pertama sekali melangkahkan kaki ke dalam syurga. Wallahu'alam.

Jadi para isteri, berbaktilah kepada suami kita dengan seikhlas hati kerana Rasulullah SAW pernah bersabda mafhumnya, 

Tidak dibenarkan bagi seseorang untuk sujud kepada manusia. Jika seandainya boleh, maka saya akan perintahkan wanita sujud kepada suaminya, kerana besarnya hak suami yang wajib ditunaikan oleh sang isteri. 
Semoga kisah ini menjadi motivasi dan inspirasi kepada kita semua.



Wassalam.

0 comments:

Post a Comment